58,500 PEKERJA ASING DIDAPATI GAGAL UJIAN SARINGAN KESIHATAN (2009-2014)
KIRA-kira 3% daripada 1.95 juta pekerja asing yang masuk
untuk bekerja di Malaysia didapati gagal ketika menjalani saringan
kesihatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA)
antara tahun 2009 hingga 2014 (5 TAHUN).
Antaranya ialah penyakit yang sebelum ini berjaya dikawal dan
dikatakan berjaya dihapuskan oleh kerajaan
seperti wabak tuberculosis
(tibi) dan kusta. Bahkan, ada pekerja asing berkenaan didapati menghidap
hepatitis B, siflis, HIV/AIDS, malaria, epilepsi, untut, barah,
mengandung dan dadah.
Kegagalan saringan kesihatan dikatakan sebahagiannya akibat tindakan
pekerja asing terbabit melakukan penipuan sijil kesihatan untuk
membolehkan mereka masuk bekerja di negara ini.
Mereka yang sepatutnya dihantar pulang ke negara asal dengan
kebanyakannya sudah bergolok-bergadai untuk masuk ke negara ini akan
bertindak menghilangkan diri dan memasuki pasaran pekerjaan secara
gelap. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kemasukan pendatang asing
tanpa izin yang datang melalui pintu yang tidak sah selain kehadiran
pelancong dari negara dunia ketiga ke negara ini.
Tindakan majikan yang tidak bertanggungjawab menggaji pekerja asing,
terutama yang menghidap penyakit berjangkit akan membahayakan kesihatan
orang lain.
Bayangkan, risiko yang dihadapi rakyat negara ini jika pekerja asing
yang berpenyakit berjangkit itu diambil bekerja di restoran, pusat cuci
kenderaan atau pusat asuhan kanak-kanak.
Sistem urus pekerja asing
Sehubungan itu, keputusan Jabatan Imigresen melaksanakan sepenuhnya
modul BioMedical dan permohonan secara elektronik Visa Dengan Rujukan
(eVDR) menggunakan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS)
terhadap semua pekerja asing mulai hari ini adalah langkah tepat.
Mulai tarikh itu, semua bakal pekerja asing perlu melalui pemeriksaan
kesihatan di klinik di negara asal yang mempunyai kemudahan BioMedical.
Langkah itu membolehkan verifikasi biometrik dilakukan terhadap bakal
pekerja asing bagi tapisan keselamatan dan mengesahkan pekerja terbabit
adalah subjek sebenar yang memohon sebelum menjalani pemeriksaan
kesihatan.
Penggunaan modul eVDR diwajibkan, termasuk pembelian insurans untuk
pekerja asing bagi permohonan surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR)
secara dalam talian bagi memudahkan urusan majikan tanpa perlu menunggu
di kaunter imigresen.
Elak berurusan dengan ejen
Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia, Farah
Adura Hamidi, berkata penggunaan FWCMS membantu mengurangkan beban kerja
di kaunter imigresen kerana kemasukan data dilakukan sendiri oleh
majikan atau pekerja.
Beliau berkata, penggunaan sistem dalam talian juga dapat mengelakkan
majikan daripada berurusan dengan bantuan ejen selain melakukan urusan
tunai di kaunter yang boleh menimbulkan tohmahan terhadap pegawai
imigresen.
"Jika semua prosedur dipatuhi dan dokumen yang diperlukan lengkap,
tempoh kelulusan untuk pekerja asing mendapatkan eVDR boleh dikurangkan
daripada satu atau dua minggu kepada tiga atau empat hari sahaja,"
katanya.
Kita percaya majikan tulen sudah pasti menyokong penggunaan sistem
yang sepatutnya sudah lama dilakukan oleh kerajaan kerana ia
menyenangkan majikan kerana mereka tidak perlu berurusan di kaunter,
boleh melakukan secara dalam talian, mudah, menjimatkan masa dan wang
serta lebih telus.
Penipuan pekerja asing yang mempunyai masalah kesihatan dapat
ditangani kerana modul Biomedical dikendalikan klinik kesihatan di
negara sumber yang mempunyai akreditasi dengan FWCMS dan mematuhi
spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 16 penyakit berjangkit dan kronik akan disaring dengan
pekerja yang gagal pada peringkat awal tidak dibenarkan masuk ke negara
ini sekali gus menjimatkan pekerja asing daripada kerugian jika terpaksa
dihantar pulang.
Bagaimanapun, keputusan kerajaan ini sudah pasti tidak disenangi
segelintir agensi pembekal pekerjaan yang tidak bertanggungjawab kerana
mereka tidak dapat lagi memeras wang bakal pekerja asing.
Sebelum ini, ada segelintir agensi memanipulasi pekerja asing dengan
menghantar mereka yang tidak layak untuk bekerja di negara ini bagi
memperoleh keuntungan.
Ini menyebabkan pekerja asing yang gagal melepasi ujian FOMEMA
bertindak menghilangkan diri serta memasuki pasaran pekerjaan gelap
kerana sudah menghabiskan banyak wang untuk masuk ke negara ini.
Selain itu, Farah Adura berkata, pihaknya cuba menyedarkan majikan
bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar ketika membawa masuk pekerja
asing ke negara ini.
Beliau berkata, sekiranya majikan tiada tanggungjawab untuk
memastikan pekerja asing yang dibawa masuk adalah sihat dan tiada
penyakit berjangkit, ia akan menimbulkan masalah besar kepada negara.
"Oleh itu, ada kontrak antara majikan dan pekerja, termasuk majikan
dengan kerajaan. Kita ingin majikan baca apa yang diletakkan dalam
kontrak supaya ia dipatuhi.
"Sepatutnya, apabila majikan mengenal pasti pekerja asing yang tidak
layak, mereka bertanggungjawab untuk menghantar pekerja terbabit pulang
ke negara asal," katanya.
Insurans pekerja asing
Sementara itu, Ketua Pegawai Pengagihan Overseas Assurance
Corporation (OAC) Bhd, Kevin Coong, berkata pihaknya mengalu-alukan
penggunaan FWCMS kerana ia dapat memastikan pekerja asing memiliki
ketiga-tiga skim insurans iaitu Insurans Jaminan Pekerja Asing (IG),
Insurans Pampasan Pekerja Asing (FWCS) dan Skim Perlindungan Insurans
Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA).
"Sebelum ini, ada majikan yang tidak mengambil FWCS dan SPIKPA walaupun disyaratkan ke atas pekerja asing.
"Kini ia dapat dielakkan kerana memiliki ketiga-tiga insurans
menjadi keperluan untuk pekerja asing mendapatkan eVDR. Melalui FWCMS,
majikan bebas memilih syarikat insurans yang mereka ingin berurusan.
"Keputusan kerajaan ini baik kepada perkembangan industri insurans
selain dapat mengurangkan risiko kerajaan terpaksa
menanggung kos
perubatan pekerja asing di hospital," katanya.
Mengikut statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2011, seramai
348,716 warga asing menggunakan hospital dan klinik kerajaan dan angka
itu meningkat 20.6 peratus kepada
420,722 orang pada tahun 2012.
Pertambahan pesakit warga asing itu sudah tentu menyumbang kepada
peningkatan kos perubatan kerajaan. Walaupun dikenakan kadar caj rawatan
yang rendah, warga asing masih berhutang RM104 juta dengan hospital dan
klinik kerajaan untuk tempoh tahun 2007 hingga Julai 2013.
Sumber