KUALA LUMPUR – Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd Asri
Zainul Abidin menggesa agar para penulis maya di internet, khususnya
para blogger supaya memikirkan tentang dosa dan pahala apabila menulis
mengenai pandangan mereka di blog masing-masing.
Menurut beliau, matlamat tidak menghalalkan cara di dalam memenangi
hati para pembaca untuk menerima pendapat dan segala hujah mestilah
berpandukan kepada sumber ilmiah serta berfakta supaya mengelak dari
sebarang unsur fitnah atau tohmahan.
“Janganlah bila berada di depan komputer (untuk menulis), kita lupa
pada dosa dan pahala pula,” katanya ketika menyampaikan ucapan sebagai
panel di majlis Himpunan Ulama’, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya
Kebangsaan 2012 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, di sini hari
ini.
Beliau turut mengajak para penulis di alam siber agar bekerjasama
dengan golongan ulama di dalam tujuan menyatukan ummah menerusi ruang
lingkup maya dengan penyebaran maklumat yang telus dan lebih positif.
Pandangan beliau itu turut dikongsi bersama oleh ahli akademik dari
Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Professor Datuk Dr. Sidek Baba, yang menganjurkan agar para ulama,
cendekiawan dan blogger menterjemahkan penulisan mereka menerusi
strategi eklektik. Menurut beliau yang turut menjadi panel di majlis tersebut, kaedah
elektik merupakan gabungan integrasi ilmu, sejarah kegemilangan silam
Islam dan sosiologi moden yang diaplikasikan bersama di dalam usaha
menyatupadukan ummah.
“Seorang ilmuan Islam Professor Dr. Taha Jabir membuat kajian
mengenai kaedah eklektik yang menggabungkan nilai-nilai tersebut dan ia
berkesan,” katanya pada ucapan yang bertema ‘Peranan Ulama dan
Cendekiawan Islam Dalam Mendepani Dunia Siber.
Program himpunan tersebut dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan
kerajaan, Kelab Sahabat Bina Negara dengan kerjasama portal My.KMU.net,
dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan hadir
menyampaikan ucaptama pada kemuncak program, esok.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
18 Februari 2012
No comments:
Post a Comment