28 June 2012

HIV, AIDS- FAKTA PENTING


1. AIDS disebabkan HIV
HIV ialah virus human imunodeficiency; yang merosakkan sistem pertahanan badan. Orang yang menghidap penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) menjadi lemah kerana badan mereka hilang keupayaan melawan semua penyakit. Mereka akhirnya mati dan sehingga kini belum ada ubat yang boleh menyembuhkan jangkitan HIV. Anda perlu kuatkan diri dahulu untuk mengetahui status diri anda. Klik ini.

2. Kemunculan pertama AIDS boleh mengambil masa 10 tahun selepas jangkitan 
Virus HIV mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk membiak dan membentuk koloni dalam badan manusia. Inilah sebabnya seseorang yang dijangkiti virus HIV kelihatan dan berasa sihat selama bertahun-tahun dan dalam tempoh inilah dia boleh memindahkan virus berkenaan kepada orang lain tanpa disedari. Ubat yang ada membolehkan individu dijangkiti HIV hidup sihat lebih lama tetapi dia tetap boleh memindahkan virus itu kepada orang lain.

Memandangkan masa inkubasi yang panjang (8 hingga 10 tahun), adalah tidak praktikal menunggu tanda-tanda klinikal penyakit untuk mengesahkan seseorang itu dijangkiti kuman HIV atau tidak. Secara teori bila seseorang dijangkiti virus HIV, kesan tindakbalas tubuh terhadap penyakit berlaku. Tindakbalas (6-9bulan selepas jangkitan) ini boleh dikesan di makmal dengan melakukan pemeriksaan darah untuk mengesan antibodi terhadap virus HIV. Suatu teknik yang dinamakan Enzyme Link Immuno Assay (ELISA) digunakan. Pemeriksaan ini dijalankan dihampir seluruh dunia dan di semua pusat pengesanan HIV diseluruh Semenanjung Malaysia. Teknik ini sangat sensitif. Dengan menggunakan kaedah yang betul tahapnya ialah 99.99 peratus (Bermakna kaedah ini hanya gagal mengesan 1 kes bagi setiap 10,000 pesakit yang mempunyai virus HIV). 
 
Ujian darah ELISA tidak mengesan virus HIV secara terus, sebaliknya ia mengesan antibodi kepada HIV.Untuk makluman, jika terdapat virus HIV dalam darah seseorang itu, badan akan menghasilkan satu antibodi khas bagi virus tersebut.  Maka, ketika ujian ELISA dilakukan, ia akan menunjukkan kehadiran antibodi itu jika ada.

Pun begitu, perlu diingat bahawa antibodi itu mengambil masa untuk dihasilkan (sehingga 6 bulan).  Jadi, walaupun seseorang itu dijangkiti virus HIV, ujian darah ELISA mungkin akan menunjukkan bacaan Negatif disebabkan jumlah antibodi HIV yang sedikit. Ia dipanggil 'window period'.

Oleh itu, adalah wajar untuk ujian darah ELISA dilakukan selepas 3 bulan daripada tarikh kemungkinan anda mendapat virus.  Biasanya, dalam masa 3 bulan, jumlah antibodi HIV sudah cukup banyak untuk dikesan oleh ujian darah ELISA (terdapat juga sehingga 6 bulan namun amat jarang). Juga, jika ujian darah didapati positif, ujian darah itu perlu diulang semula bagi kepastian.  Juga ujian darah dinamakan Western Blot perlu dilakukan.

Bagi ujian ELISA, sekiranya anda berminat untuk melakukan ujian tersebut, anda bolehlah melakukannya di klinik.  Namun, sekiranya anda berminat untuk pergi sendiri ke makmal swasta, anda bolehlah melakukannya di beberapa makmal swasta seperti Pathlab, BP Healthcare, dan lain lain lagi.
Satu lagi ujian yang dijalankan dan juga mengesan kehadiran antibodi dinamakan Partical Agglutination (PA) digunakan. Cara ini didapati kurang sensitif daripada ELISA tetapi lebih spesifik. Ianya digunakan sebagai ujian kedua selepas sesuatu darah pesakit disahkan mempunyai antibodi dengan ujian ELISA.

Ujian Western Blot juga menggunakan kaedah pengesan kehadiran antibodi terhadap virus HIV. Ujian Western Blot (WB) hanya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IPP) di Malaysia. Ini kerana ujian WB memerlukan peralatan yang khusus dan keputusan hanya boleh dibaca oleh orang yang mahir sahaja. Ujian WB pada asasnya dijalankan dengan mengesan kehadiran env protin virus HIV didalam darah. Ujian WB digunakan sebagai ujian pengesahan kehadiran virus HIV.

Satu lagi ujian yang dijalankan ialah Polimerase Chain Reaction (PCR). Ujian ini mengesan kehadiran virus HIV dengan melihat virus berkenaan dan bukan antibodi terhadap virus seperti ketiga-tiga ujian diatas. Ujian PCR dijalankan untuk kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti HIV untuk mengesahkan kehadiran kuman HIV.

Secara umumnya seseorang pesakit akan menjalani:
·                     ujian ELISA sebagai saringan pertama
·                     ujian PA sebagai saringan kedua
·                     JIKA kedua-dua ujian diatas reaktif (menunjukkan tindakbalas positif), darah baru akan diminta daripada pesakit. Ujian ELISA dan PA kali kedua akan dijalankan.
·                     ujian WB di IPP
·                     ujian PCR jika berumur kurang daripada 18 bulan
Selepas doktor berpuas hati dengan semua keputusan ujian-ujian diatas, pesakit akan disahkan samada dijangkiti HIV atau TIDAK.

Memandangkan virus HIV sangat spesifik kepada manusia, ianya tidak dapat dibiakkan didalam tisu haiwan lain. Oleh itu pengesanan virus dengan menggunakan kaedah haiwan yang disuntik oleh serum pesakit yang mungkin dijangkiti virus tidak dijalankan. Walaunpun begitu kaedah kultur tisu ada digunakan didalam penyelidikan. Sepasukan pakar dari Universiti Kyoto, Jepun dapat membiakan virus HIV didalam monyet dengan melakukan sedikit perubahan struktur genetik virus berkenaan.


AIDS : TANDA KLINIKAL



Tanda-tanda klinikal AIDS bergantung kepada kriteria yang digunakan untuk mendiagnos AIDS. Mengikut kriteria yang digunakan oleh Malaysia sekarang, tanda-tanda AIDS ialah :

i. Susut berat badan melebihi 1/3 dalam masa 1 bulan.
ii. Demam berpanjangan melebihi 1 bulan
iii. Cirit birit berpanjangan melebihi 1 bulan
iv. Batuk berpanjangan melebihi 1 bulan
v. Mendapat jangkitan kandidiasis oral
vi. Mendapat jangkitan 'Kaposi sarcoma'
vii. Mendapat jangkitan kayap yang kerap atau tidak sembuh


3. HIV dipindahkan melalui cecair badan
Pemindahan virus HIV boleh berlaku pada semua peringkat, sama ada pesakit sudah mengalami gejala AIDS atau kelihatan sihat. Pada individu yang dijangkiti virus HIV, virus ini boleh ditemui pada darah, air mani (termasuklah cecair yang keluar sebelum ejakulasi), lelehan vagina, dari ibu HIV kepada anak dalam kandungan, kelahiran dan susu badan.

4. Jangkitan virus HIV paling kerap berlaku melalui hubungan seks
Percampuran cecair badan berlaku ketika hubungan seks dan ketika itulah virus HIV boleh berpindah masuk ke dalam badan pasangan; terutama jika tisu vagina atau dubur luka; atau menghidap penyakit kelamin. Remaja perempuan lebih terdedah dan berisiko dijangkiti HIV kerana lapisan membran pada vagina mereka lebih nipis berbanding wanita dewasa dan mudah terkena jangkitan.

5. Individu yang menghidap penyakit kelamin lebih berisiko dijangkiti HIV
Menghidap penyakit kelamin akan meningkatkan risiko seseorang dijangkiti HIV dan kemudian, memindahkan jangkitan kepada orang lain jika mereka kerap bertukar pasangan. Individu yang menghidap penyakit kelamin perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin dan dalam tempoh ini mengelak daripada melakukan hubungan seks atau mengamalkan seks selamat (memakai pelindung umpamanya kondom). Malah mereka juga perlu memaklumkan perkara itu kepada pasangan.

6. Risiko jangkitan HIV melalui seks boleh dikurangkan
Ia boleh dicapai dengan tidak melakukan hubungan seks; jika mereka yang tidak dijangkiti hanya mengadakan hubungan seks dengan pasangan sama saja atau mengamalkan seks selamat. Seks selamat bermakna seks yang tiada penetrasi (kemasukan zakar ke dalam vagina) atau menggunakan kondom. Bagaimanapun, kaedah ini masih ada risiko kerana pasangan mungkin luka, kondom bocor atau tertanggal jika tidak dipakai dengan baik. Paling selamat ialah langsung tidak mengadakan hubungan seks.

7. Individu yang menyuntik dadah juga berisiko tinggi mendapat jangkitan HIV
Virus HIV juga boleh dipindahkan melalui jarum suntikan dan ini adalah cara yang paling biasa di kalangan penagih dadah. Selain itu virus HIV juga boleh berpindah jika menggunakan pisau cukur, pisau dan lain-lain alat yang tercemar (digunakan terlebih dulu oleh individu yang ada HIV).
 
8. Pegawai kesihatan atau pusat HIV/Aids yang boleh dihubungi untuk ujian dan kaunseling
Sesiapa yang mengesyaki dijangkiti HIV perlu menghubungi pegawai kesihatan atau pusat HIV/AIDS seperti Majlis AIDS Malaysia di talian 03-4045 1033 untuk ujian, nasihat dan kaunseling. Anda tidak perlu bimbang kerana semua maklumat adalah rahsia.

9. Virus HIV tidak berjangkit melalui sentuhan harian
Ini termasuklah bersalaman; berpelukan; menggunakan kolam renang atau tandas yang sama; berkongsi cadar dan sarung bantal, telefon, perabot, peralatan makan dan makanan. Malah, virus ini tidak tersebar menerusi batuk, bersin atau gigitan serangga termasuk nyamuk.

10. Setiap orang berhak menerima belas kasihan dan sokongan
Tidak kira siapa pun yang mendapat jangkitan HIV atau menghidap AIDS, mereka berhak mendapat sokongan dan belas kasihan. Mendiskriminasi atau menyisihkan penghidap AIDS atau individu yang dijangkiti HIV sebenarnya melanggar hak asasi manusia.

11. Bolehkah kita mengetahui sama ada seseorang itu dijangkiti HIV?
Tidak. Tiada cara untuk kita mengetahui sama ada seseorang itu dijangkiti HIV dengan melihat pada fizikalnya saja. Jangkitan HIV hanya boleh dikesan melalui ujian darah. Malah individu yang dijangkiti itu juga mungkin tidak menyedari virus itu ada dalam badan mereka kerana berasa sihat.

12. Jika dijangkiti HIV
Anda perlu memberitahu perkara itu kepada orang yang pernah menjadi pasangan seks anda atau individu yang berkongsi jarum suntikan dengan anda; supaya mereka boleh memikirkan untuk menjalani ujian pemeriksaan HIV. Bagaimanapun, ia bukanlah perkara yang mudah, mintalah nasihat daripada doktor, jururawat atau kakitangan Majlis AIDS Malaysia.

13. Pesakit perlu tahu mereka berhak mendapat rawatan
Memang tidak dapat dinafikan ada petugas perubatan yang kurang senang merawat pesakit kerana mereka kurang pengetahuan. Pesakit yang melalui sebarang bentuk diskriminasi atau dinafikan hak mendapat rawatan kerana menghidap HIV, perlu mencatat butir lengkap mengenai perkara itu, terutama masa, tarikh, tempat dan jika memperoleh nama individu yang terbabit sebagai dokumentasi untuk diambil tindakan undang-undang.
Tindakan undang-undang tidak dapat dilakukan jika tiada dokumentasi atau hanya berdasarkan rungutan. Ini penting untuk menghentikan diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS kerana setiap orang ada hak sama seperti orang lain.

14. Jika anda pembawa HIV dan hamil
Jangan cuai mengambil ubat sepanjang kehamilan. Ubat itu boleh mengelakkan anak anda mendapat jangkitan HIV. Mereka juga perlu menyedari bahawa tidak boleh melahirkan anak secara normal, sebaliknya melalui pembedahan. Ini kerana ketika proses bersalin secara normal itulah virus akan ‘diwariskan’ kepada anak.
Rasanya, ramai antara kita sudah tahu fakta tersenarai tadi tetapi tahu saja tidak mencukupi kerana perkara lebih penting ialah kesediaan kita untuk menerima kehadiran pesakit dalam kehidupan kita. Jika kita benar-benar tahu dan faham mengenai HIV dan AIDS, kita tidak seharusnya resah apabila mengetahui orang yang duduk di sebelah kita adalah individu HIV, bukan?



Jika seseorang hanya melakukan seks oral, dia tidak berisiko untuk mendapat jangkitan HIV.

a.      Betul
b.      Salah
c.       Tidak Pasti

Jika seseorang mengadakan hubungan seks hanya sekali dengan orang yang dijangkiti, tanpa menggunakan kondom, dia tidak berisiko untuk mendapat jangkitan.

a.      Betul
b.      Salah
c.       Tidak Pasti

Seseorang boleh dijangkiti HIV dan tidak menyedarinya.

a.      Betul
b.      Salah
c.       Tidak Pasti

   Seks melalui dubur adalah risiko jangkitan HIV paling tinggi dalam aktiviti seksual untuk mendapat jangkitan HIV.

a.      Betul
b.      Salah
c.       Tidak Pasti

Penyakit jangkitan kelamin menyebabkan risiko lebih tinggi mendapat HIV.

a.      Betul
b.      Salah
c.       Tidak Pasti

4 comments:

  1. Sy telah melakukan rapid test 3 blan slepas aktivti brisiko.kptusannya non reaktif.brapa perats sy bebas dr hiv?

    ReplyDelete
  2. Biasa dlm 6 bulan pertama keputusan ujian lbh tepat 100%.. jika ada pun, ujian susulan - bukan rapid test utk sahkan. Bt masa skrg Insyaallah 3 bulan pertama da memadai.

    ReplyDelete
  3. Kalau hari ini kita melakukan seks dengan perempuan yang terkena siplis.bila kita perlu melakukan ujian darah untuk mengetahui status kesihatan kita

    ReplyDelete
  4. Sy tidak berkemahiran dlm perubatan, tetapi melalui kes yang sy jumpa, tanda2 hadir seawal 3/4 minggu selepas jangkitan.

    Spt di PDN(ujian asas- Hepatitis/HIV/Siflis semua darah penderma), kes Siflis yang dikesan akan diberi surat ke HKL utk rujukan dan kaunselor pakar. Tempoh pemantauan melebihi 6 bulan. Alhamdullilah ada rujukan pakar sebegini. Ia privasi bg setiap pesakit cuma kena displin ikut rawatan.

    Antara tanda awal di tapak tangan ada macam bintik merah, dan hilang. Ada beberapa fasa tanda Peringkat 1,2,3.. Siflis boleh merebak melalui oral seks. Kiranya tuan ingin yakin, buatlah ujian VDRL pada minggu 3/4 dan ulangan bulan 5/6 utk pengesahan total. Ada klinik swasta yg bt ujian @ Patlab/BPlab jika tuan selesa.

    Siflis boleh diubati dgn mengikut rawatan tetapi ia bahaya spt Tibi jika mendiamkan diri. Pesakit Siflis tidak dibenarkan menderma darah sampai bila-bila.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...