David Latimer seorang yang cintakan kehijauan dan bijak meneroka telah menghasilkan sebuah taman dalam botol dan kini botolnya itu berusia hampir 53 tahun dan hakikatnya tidak mengambil banyak masa.
Namun,
suasana dalam rumah itu sendiri ditanam dengan pelbagai pokok
‘spiderworts’ atau nama saintifiknya Tradescantia yang subur dengan
dedaun yang sihat diisi dalam pelbagai botol perhiasan menyerupai buah
labu.
Latimer, 80, berkata, balang pokok itu diletakkan pada jarak 1.83 meter dari tingkap agar ia dapat disinari cahaya matahari.
Sudah menjadi lumrah, hidupan hijau tumbuh ke arah cahaya matahari untuk
menghasilkan fotosintesis. Justeru, Latimer akan memusingkan botol
pokok itu ke arah cahaya matahari agar tumbesaran pokok itu serata.
“Selain kelihatan cantik, kos penyelenggaraannya juga rendah dan
murah. Saya tidak perlu memotong atau memangkas mana-mana bahagian,
membolehkan ia berkembang mengikut had botol,” katanya.
Taman dalam botol berjaya mencipta ekosistem kecilnya sendiri.
Walaupun terputus daripada dunia luar, ia masih menyerap cahaya agar
dapat melakukan proses fotosintesis. Fotosintesis mewujudkan oksigen dan
membuatkan udara sekeliling berasa lembap.
Daun yang gugur dan mereput di bahagian bawah botol mewujudkan karbon
dioksida yang diperlukan untuk proses fotosintesis dan nutrien yang
diserap menerusi akarnya.
Segalanya bermula pada 1960 apabila Latimer mencari hobi yang menyeronokkan dan keinginannya untuk memulakan taman dalam botol.
“Ketika itu, industri kimia mula berubah apabila kebanyakannya
memindahkan sebahagian pengeluaran ke dalam botol plastik. Maka, banyak
botol kaca yang terbiar dan tidak digunakan atau dijual murah,”
katanya.
Bermula dengan pemilihan botol seperti botol ‘globular’, Latimer
mencurahkan kompos atau baja kompos lalu mencampurkannya dengan sedikit
tanah.
Dengan berhati-hati, Latimer menurun dan meletakkan benih pokok dengan menggunakan sekeping dawai.
Selepas selesai menanam pokok itu, dia memasukkan kira-kira satu perempat daripada 473 mililiter air.
Sehinggalah pada 1972, dia menyiram pokok itu kembali dengan kuantiti yang sama.
Selepas itu, Latimer menyumbat ruang botol dan menutupnya dengan ketat
dan sejak itu pokok yang ditanam dalam botol tidak disiram air.
Botol terbabit berdiri teguh di bawah tangga dalam rumahnya di Cranleigh, Surrey, England.
Ia berada di tempat sama yang diduduki Latimer selama 27 tahun selepas
dia dan isterinya Gretchen berpindah dari Lancashire apabila bersara
sebagai seorang jurutera elektrik.
Latimer berjaya dengan hobi terbabit dan mendedahkannya kepada dunia selepas mengambil gambar ciptaannya untuk Radio 4 BBC.
Pakar landskap dan penyampai televisyen, Chris Beardshaw berkata, apa
yang dilakukan Latimer itu adalah contoh terhebat, membuktikan tumbuhan
mampu mengitar semula untuk hidup.
“Proses ini antara sebab mengapa NASA berminat membawa tumbuh-tumbuhan ke angkasa lepas,” katanya.
Pekebun organik, Bob Flowerdew agak kurang bersemangat apabila memberi komen mengenai hobi Latimer.
“Ia mungkin kelihatan cantik, tetapi saya tidak nampak tujuan kita
menanam pokok dalam botol, tetapi saya tidak boleh memakannya,”
katanya.
Latimer bersetuju apabila berasakan taman dalam botol adalah sangat
membosankan kerana tidak dapat berbuat apa-apa seperti menyiram,
mengusir serangga atau memotong dahan dan ranting pokok, tetapi masih
terpesona untuk melihat berapa lama ia dapat meneruskan hidup.
Dia berharap untuk mewariskan ‘eksperimen’ itu kepada anaknya selepas
dia meninggal dunia. Jika mereka tidak mahu, dia terpaksa memberikannya
kepada Persatuan Hortikultur Diraja.
Bagaimana taman dalam botol membesar
Taman dalam botol mampu meneruskan hidup kerana ruang yang tertutup
berjaya mewujudkan ekosistem tersendiri di mana tumbuh-tumbuhan boleh
hidup menerusi fotosintesis dan mengitar semula nutrien.
Satu-satunya input luaran yang diperlukan pokok terbabit untuk
meneruskan kelangsungan hidup adalah cahaya yang membekalkan tenaga
untuk mencipta makanannya sendiri.
Proses fotosintesis ini adalah bertentangan dengan respirasi selular
yang berlaku dalam organisma lain termasuk manusia di mana karbohidrat
yang mengandungi tenaga bertindak balas dengan oksigen untuk
menghasilkan karbon dioksida, air dan melepaskan tenaga kimia.
Tetapi, ekosistem ini turut menggunakan pernafasan selular untuk menghancurkan bahan reput yang jatuh daripada tumbuhan itu.
Pada waktu malam, tumbuhan akan menggunakan pernafasan selular untuk
memastikan kelangsungan hidupnya dengan menghancurkan nutrien yang
tersimpan.
Disebabkan taman dalam botol adalah persekitaran yang tertutup, justeru kitaran airnya turut meliputi satu proses yang lengkap.
Akar tumbuhan menyedut air kemudian melepaskannya ke ruang udara semasa
proses perpeluhan atau transpirasi, seterusnya berlaku pemeluwapan dan
kitaran hidup tumbuhan itu akan berulang apabila titik air jatuh ke
dalam campuran tanah.
INFO:
Dunia Tumbuhan Dalam Botol: Bina Taman Dalam Botol Sendiri
Penulis, Nigel Colborn berkata, idea taman dalam botol adalah untuk
mewujudkan sebuah dunia kecil di dalamnya. Ia akan mempunyai habitat
khasnya sendiri dan hanya memerlukan sedikit penyelenggaraan.
1) Pilih bekas kaca yang sesuai dengan leher botol yang luas agar mudah
untuk mengakses dalamnya dan kelihatan menarik. Mangkuk ikan emas adalah
ideal untuk dewasa manakala kanak-kanak boleh menggunakan balang jem
besar.
2) Gunakan baja dan tanah kompos yang berkualiti, batu kerikil atau pasir dan tumbuhan yang sesuai.
3) Gunakan sudu besar untuk memasukkan lapisan batu kerikil atau pasir
ke dalam balang dan tutup dengan kompos yang cukup dalam untuk menampung
tumbesaran akar tumbuhan.
4) Mengenai tumbuhan, anda perlu memilih tumbuhan di kalangan spesimen
kecil - melainkan ia adalah untuk satu bekas besar. Paku pakis seperti
‘maidenhair’ atau ‘adiantum’ iaitu antara spesies kecil Tradescantia
atau tumbuhan renek seperti ‘Chlorophytum’ pasti mudah diurus. Replika
treler atau patung haiwan kecil pasti menceriakan ruang balang.
5) Letakkan pokok dengan berhati-hati pada kedudukannya, sesuaikan atau
ubah kedudukan tumbuhan dengan menggunakan kayu atau penyepit dapur
sehingga anda selesa dengan keadaan tumbuhan.
6) Selepas menanam tumbuhan, tambahkan lapisan akhir pasir agar mampu
menguatkan kedudukan tumbuhan dan membuatkan taman mikro anda kelihatan
menarik.
7) Siram tumbuhan dengan berhati-hati kerana penjagaan pokok dalam balang tidak
memerlukan banyak air dan letakkan taman mikro di tempat yang terang, tetapi tidak terlalu terdedah pada kepanasan cahaya.