Kedai Buku Online

Friday, June 27

BERPUASA DEMI KESIHATAN SEPANJANG TAHUN

Hari ini 29 Syaaban1435H, antara hari yang diharamkan berpuasa/sesetengah pendapat mengatakan makruh berpuasa kerana 29@30 Syaaban jatuh sebagai Hari Syak.

Diantara hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa dalam Islam adalah seperti berikut:
  1. Puasa pada hari syak ~ 29/30 Sya’ban kerana kemungkinan esok Sabtu@Ahad jatuhnya 1 Ramadhan 1435H
  2. Puasa pada 1 Syawal (Hari Raya Aidilfitri)
  3. Puasa pada 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha)
  4. Puasa pada hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Tasyrik juga dikatakan hari makan minum.
  5. Selepas 15 Sya’ban hingga Ramadhan (Kecuali bagi puasa Qadha dan nazar)

Antara Hari Makhruh Berpuasa :

  1. Hari Jumaat tunggal- eloknya Khamis-Jumaat
  2. Hari Sabtu tunggal
  3. Berpuasa sepanjang Tahun - eloknya ikut Nabi Daud, berpuasa secara berselang.
  4. Puasa pada hari Arafah
Hari Yang Sunat Berpuasa :

  1. Puasa 6 Hari Syawal
  2. Puasa 1 - 8 Zulhijjah
  3. Puasa Hari Arafah 9 Zulhijjah
  4. Puasa Bulan Muharam
  5. Hari Tasu'a - 9 Muharam
  6. hari Asyura - 10 Muharam
  7. Puasa Bulan Rejab
  8. Puasa Bulan Syaaban
  9. Puasa Isnin & Khamis
  10. Puasa Pertengahan Bulan Islam 13, 14, 15 Haribulan
Share:

Tuesday, June 24

SERVIS KERETA KETIKA WAKTU TERLUANG

Baru- Baru INI SE berpeluang membuat servis penuh kereta myvi. Usianya dah 8 tahun.
Perodua sekarang sudah ada jual shim caliper brake-yang menyebabkan masalah bunyi ketuk-ketuk ketika memandu di kawasan tidak rata. Harganya sepasang $164 tidak termasuk upah.

Memandangkan usianya, maka SE juga kenalah tukar Water Pump. Bentuknya dalam sejengkal dan ada turbin. Harga dalam $260 tidak termasuk upah.

Ramadhan tidak lama lagi, jadi eloklah servis kenderaan awal sedikit, jangan tunggu Saat akhir. Sikap begini akan menyebabkan kenaikan harga, kos tambahan dan juga masa menunggu. Bayangkan pomen juga sibuk naik beraya, takut kualiti Dan jaminan selepas servis berlalu begitu saja. 

Kos hampir $760 (tu pun minta lagi diskaun mana yang boleh dapat) servis kali ini, termasuk Flush Radiator, Ganti V-Ribbed Rubber Belting, Gear Oil, Brake Oil, Minyak Enjin dan beberapa inpection checking yang lain lagi pun rasa terhutang budi sebab myvi  SE ni tidak pernah mengecewakan . Jom servis2 kenderaan anda...

Share:

Thursday, June 12

HARMONI DAN KESAMARATAAN

1. Kerajaan Malaysia akan membentang tiga rang undang-undang (Bill) bagi mengganti Akta Hasutan 1948, demikian janji Perdana Menteri. Akta Hasutan dianggap tidak sesuai dengan keadaan zaman dan dasar keterbukaan Malaysia.

2. Apakah rang undang-undang yang akan dijadikan pengganti kepada Akta Hasutan? Dibawah diperturunkan nama-nama akta berkenaan:-
1) National Harmony Bill
2) National Unity Bill
3) National Unity and Integration Commission Bill

3. National Unity Bill dan National Harmony Bill bertujuan menghapuskan dasar pemilihan berasas kepada agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, jantina atau ketidakupayaan dan lain-lain yang berkenaan.


4. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan bangsa.

5. Di Malaysia kita kekalkan bangsa asal kita, bahasa dan budaya kita, sekolah kita, bahkan universiti kita. Susulan dari itu kita tinggal di tempat-tempat berasingan, amalan cara hidup dan kegiatan kita juga berbeza dan berasingan. Dalam bidang perniagaan masing-masing mempunyai network sendiri berasas kepada kaum/bangsa, bahasa dan budaya. Sistem “guild” atau kesatuan jenis perniagaan tertutup kepada orang lain.

6. Pencapaian masing-masing kaum/bangsa juga berbeza dengan kaum Cina mendahului kaum India dan Melayu dan kaum India sedikit sebanyak mendahului kaum Melayu.

7. Keadaan terpisahnya kaum/bangsa dan pencapaian kaum/bangsa yang tidak sama tidak membolehkan penyatuan dan harmoni di kalangan mereka dengan mudah. Kerana kaum/bangsa tidak boleh dihapuskan percubaan dibuat melalui DEB untuk mengurangkan jarak pemisahan antara mereka dalam bidang ekonomi.

8. Dasar Ekonomi Baru dibentuk bertujuan untuk mengurangkan jarak perpisahan antara kaum ini. Untuk ini perlu ada diskriminasi untuk satu kaum yang ketinggalan mengejar kaum lain. Apabila National Harmony Bill dilulus maka DEB tidak boleh dilaksanakan lagi. Ini bermakna negara akan amal meritokrasi – iaitu mereka yang mempunyai merit atau kebolehan tertinggi akan dapat segala-galanya. Biasiswa, tempat dalam universiti Kerajaan, kontrak, peluang kerja dan bermacam lagi akan diperolehi berasas merit. Di luar Kerajaan segala-galanya sudah pun didapati oleh mereka yang memiliki merit.

9. Memanglah ini amat adil. Tetapi besar kemungkinan kaum yang miskin, yang kerananya tidak berpeluang atau tidak memiliki persekitaran untuk belajar, pergi ke sekolah swasta yang baik dengan yuran tinggi, tidak cukup makan, kurang sihat, terlantar di rumah sekejap-sekejap, kaum ini tidak dapat memenuhi syarat, tidak memiliki merit untuk mendapat apa-apa. Mungkin mereka tidak pun dipanggil untuk ditemuduga.

10. Kerana keadilan sistem merit yang miskin (bumi) akan terus miskin dan yang kaya akan lebih kaya.

11. Di Eropah di zaman industri, yang kaya memiliki semua perusahaan dan yang miskin bekerja sebagai kuli. Tidak ada peluang sama sekali bagi kuli yang miskin menjadi kaya, kerana tidak ada pelajaran dan tidak ada modal, tidak memiliki merit.

12. Ini bukan kerana diskriminasi. Kuli sebenarnya tidak ada merit, justeru itu mereka tetap tinggal sebagai kuli. Yang kaya memperolehi merit maka mereka tetap kaya dan menjadi lebih kaya.

13. Akhirnya kuli mengadakan kesatuan sekerja, mengadakan mogok dan bermacam tindakan perusahaan, Kedudukan mereka menjadi lebih baik dan mereka berpeluang untuk mengejar ilmu dan kecekapan, kekayaan dan kejayaan. Wah! Rupa-rupanya mereka ada kebolehan, mereka yang tidak ada merit dahulu, apabila berpeluang jelas mereka ada merit dan mampu menjadi pengusaha dan majikan.

14. Kalau tidak kerana kuasa kesatuan sekerja dan mogok, potensi dan merit yang ada pada kuli tidak akan menjadi nyata.

15. Jika kita ambil iktibar, maka jelaslah yang kurang merit pun jika diberi peluang akan memiliki merit dan berjaya. Jika kita hapuskan diskriminasi yang memihak kepada yang tidak ada merit dan terus utamakan yang sudah ada merit maka tidak adalah yang kurang merit yang akan berjaya.

16. Memusnahkan diskriminasi berasas kaum atau bangsa akan menjadikan kita semua sama – sama sebagai warganegara. Tetapi ia akan kekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang sedia ada.

17. Baru-baru ini ada tokoh yang mendakwa keadaan di Malaysia amat buruk kerana amalan kronisma dan pilihkasih iaitu diskriminasi yang memihak kepada satu pihak. Oleh itu ia tidak ingin berniaga di sini. Apakah dia dilahir cukup kaya untuk pergi berniaga di negara yang tidak ada kronisma atau apakah dianya mengumpul modal yang banyak dari Negara ini dahulu sebelum dapat pergi ke luar negara untuk menikmati meperintahan tanpa diskriminasi. Kita tahu Negara ini yang begitu buruklah yang memberi peluang kepadanya mengumpul modal yang banyak untuk ke Negara lain. Jika dia dapat peluang, salahkah jika orang lain juga diberi peluang di negara yang kurang baik ini supaya dapat sedikit nikmat dari yang banyak yang sudah dinikmati oleh tokoh ini?

18. Peluang ini bagi kaum/bangsa yang ketinggalan tidak mungkin datang melainkan ada diskriminasi berasas kaum. Cadangan untuk rang undang-undang yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri bukan akan menghasilkan persamaan (equality) atau keadilan. Ia akan mengekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang terdapat sekarang.

19. Sesungguhnya rang undang-undang ini akan hapuskan saki-baki dari usaha mengimbangkan ekonomi antara kaum.

Sumber Chedet
Share:

WASPADA FAHAMAN ISLAM LIBERAL

Kalangan muslim yang prihatin begitu bimbang dengan ajaran sesat dan pertelagahan sesama sendiri soal furuk (cabang) dalam agama terutama pada perkara-perkara bidaah yang timbul selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, jarang yang sedar dan prihatin akan ancaman yang jauh lebih bahaya dalam memesongkan akidah serta tauhid Islami serta fitrah kemanusiaan itu sendiri dalam Islam liberal.
Sebabnya, ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan Al-Sunnah dan Al-Quran melalui aliran pemikiran moden yang mengsinonimkan falsafah Islam berpaksikan akal dengan pemikiran barat yang memesongkan akidah itu sudah menjadi 'pakaian' dan 'sajian' harian hidup ummah kini.
Mengguna label Islam liberal dengan memperjuangkan hak kebebasan dan hak asasi manusia, umat Muslim sebenarnya sudah diresapi dengan 'akidah' liberalisme dan pluralisme yang menjadi agenda dalam doktrin Yahudi-Kristian dalam menghancurkan Islam melalui pemesongan akidah Muslim.
Akidah menurut Profesor Dr. Hamka, terhimpun kepada tiga iaitu tauhid yang menjadi pokok kepercayaan tentang KeEsaan Allah SWT, Al-Risalah iaitu manusia pilihan Allah yang diutus menyampaikan wahyuNya bagi membimbing manusia dalam kehidupan dan Al-Baats iaitu kepercayaan kepada hari berbangkit untuk kehidupan kedua yang berkekalan. (Tafsir Al-Azhar: mukadimah juzuk 17).
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: 
Maka hadapkanlah dirimu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah (agama) Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Fitrah Allah ialah ciptaan Allah iaitu manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama Tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama Tauhid, maka hal itu tidaklah wajar. Mereka tidak beragama Tauhid adalah kerana pengaruh lingkungan kehidupan). (Ar-Ruum: 30).
Namun, manusiawi dan sikap kebendaan sudah mengambil alih peranan dalam kebanyakan amalan dan budaya hidup ummah era kini berbanding Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai pegangan untuk kekal mengEsakan Allah SWT.
Menurut Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain Al-Ghari, fahaman sesat ada pada setiap zaman tetapi ancaman pemikiran moden sinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran barat melalui liberalisme dan pluralisme adalah ancaman dan fitnah zaman ini yang jauh lebih bahaya.
Katanya, agama dan semua kepercayaan selain Islam bukan agama, sebab semuanya bersifat kemanusiaan dan perkara rekaan.
"Semua agama rekaan manusia itu tidak mungkin boleh dianggap sebagai agama. Hanya Islam yang meng-Esakan Allah SWT agama dan kepercayaan yang mutlak," katanya.
Ini telah ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang mafhumNya: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (Ali-'Imran: 85).
Oleh itu, kata Zamihan, hanya Islam satu-satunya agama kerana ia tidak ditokok tambah dan direkacipta oleh manusia untuk manusia.
Malah tegas beliau, Islam adalah agama yang paling cantik, komprehensif, natural, rasional dan mengikut fitrah makhluk lagi eksklusif yang tidak berubah sejak dulu, kini dan selamanya.
"Kerana kecantikan dan kesempurnaan Islamlah menyebabkan ia dicemburui oleh 'pereka' kepada pelbagai kepercayaan lain," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika membicarakan 'Ancaman Liberalisme dan Pluralisme' pada Seminar Isu-Isu Semasa Akidah untuk kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun pada 10 November lalu.
Seminar sehari anjuran Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu diadakan di dewan serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Ancaman Islam liberal kini kata Zamihan, amat serius kerana ia melibatkan secara menyeluruh di semua peringkat dari barisan kepimpinan dan pengurusan sama ada dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan agama itu sendiri hingga kepada individu. 

"Ia berbahaya kerana mereka memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan," katanya.

Menurut Zamihan, kebebasan bersandarkan logik atau rasional secara terbuka tanpa had bukan sahaja menyimpang daripada landasan Islam malah melampaui syariat dan prinsip dalam Al-Quran dan Al-Sunnah itu sendiri.
Kata beliau, Islam berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah untuk menegakkan akhlak berbeza dengan langkah menjaga moral yang dilaungkan Islam liberal.
Melalui liberalisasi agama pula tambahnya, wujud sekularisme yang menyaksikan semua perkara berkaitan urusan dunia dipisahkan daripada syariat agama.
"Usaha pembaratan ini sudah bermula sejak Perang Salib lagi kerana musuh Islam sedar Muslim tidak dapat dikalahkan selagi kita berpegang teguh akidah al-Quran dan al-sunnah," tegasnya.
Maka itu katanya, wujud pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, hak asasi manusia, feminisme, kebebasan, globalisasi dan Islam liberal memesongkan soal aqidah Muslim.
Pegawai Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid pula memberitahu, usaha terbaru proaktif memesongkan akidah Muslim adalah mengedarkan buku-buku Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru kepercayaan Kristian berbahasa Melayu bertajuk Al-Kitab: Berita Baik secara percuma oleh kumpulan pendakyah Kristian.
Buku olahan baru dan semasa dari Kitab Bible dan Gospels Kristian itu juga turut dijual di kebanyakan kedai-kedai buku sebaris dengan kitab-kita Islam dengan meluas.
"Pengedaran tulisan khat arab yang dipetik dari buku-buku bible dan gospels pegangan Kristian yang menyerupai ayat-ayat al-Quran juga sedang bertebaran dan memenuhi ruang rumah, kedai, pejabat dan sesetengah tempat ibadah Muslim," jelasnya.
Sebab itu, tegas Rashidy, umat Islam yang dangkal agama dan bahasa Arab perlu lebih berhati-hati dan prihatin dalam memilih kitab dan tulisan khat serta kaligrafi Bahasa Arab.
"Bible telah diterjemah ke dalam lebih 2,000 bahasa, tetapi Buku Al-Kitab: Berita Baik edisi Bahasa Melayu bukanlah dari Taurat dan Holy Bible Kristian yang asli," jelasnya.
Sebaliknya kata beliau, ia mengandungi ayat-ayat untuk menyuntik idealisme Yahudi-Kristian ke pemikiran dan akidah Muslim Melayu yang membacanya.
Beliau yang banyak terlibat dalam dialog dan perdebatan mengenai Islam dan Kristian dengan paderi serta pendakyah agama seluruh dunia itu membuat pendedahan tersebut ketika membicarakan tajuk 'Ancaman Kristianisasi di Malaysia' pada seminar tersebut.
Menurut Rashidy, identiti Islam pada umatnya sekarang sudah hilang dan hampir seluruh kehidupan harian kebanyakan Muslim dikuasai budaya dan idealisme Kristian-Yahudi.
"Sebab itulah ramai Muslim yang terpesong akidahnya dan tidak kurang pula yang begitu mudah dimurtadkan," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Hukum Hakam (Istinbat) Jabatan Mufti Selangor, Mat Jasi Kamos pula berkata, kejahilan muslim mengenai Islam menjadi punca utama akidah mereka terpesong.
Kerana jahil katanya, ramai mengambil jalan pintas untuk 'mendapatkan syurga' dan mendekatkan diri dengan Allah, sehingga tidak dapat membezakan antara mukjizat, karamah (keramat) dan istidraj (luar biasa) yang dibawa oleh seseorang atau kumpulan atas nama agama.
"Akibatnya ramai yang bertuhankan kepada sesama manusia dan mereka juga taksub dengan kebendaan sehingga memesongkan akidah," katanya.
Begitupun kata Mat Jasi, setiap individu muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi mengembalikan akidah Islam kepada sesama manusia.
Sumber
Share:

Wednesday, June 11

MINUMAN MILO PUN JADI GADUH

Mari kita lihat produk MILO ini di Mydin Putrajaya dijual pada hari biasa RM 12.90. Di Giant sebab ada SALES, di jual RM 11.99 beza RM 2.00 pada hari biasa.

Makanya Mydin masih mengekalkan harga termurah. - SE bukan penggemar MILO, sekadar membeli untuk keperluan di rumah bagi tetamu yang datang.

Sebenarnya bukan nak bercerita tentang Milo 20 Paket Percuma 3 paket, tetapi sebab rasa tertipu setelah membelinya  di Kedai Runcit Presint 15, Putrajaya dengan harga RM 21.50.

SE sudah maklum pada pekedai perbezaan harganya sehari kemudian dan pemilik kedai akan buat semakan semula. SE katakan jika jual dalam harga RM 15.00 - RM 16.00 kira masih munasabah tetapi tidak pada harga RM 21.50!!!

SE bukanlah hero, tetapi terpaksa maklumkan sebab pekedai Melayu ini perlukan reputasi yang elok bagi pelanggannya sebab Milo ramai peminatnya. Jika tidak dimaklumkan, persepsi orang akan katakan keseluruhan barangannya adalah mahal. Terpulang lah samada nak semak atau tidak, jika diturunkan harganya, InsyaAllah SE akan tuntut harga perbezaannya.

Hah, yang TESCO ni pun seangkatan seperti Mydin, murah dipasaran. Iklan ni di ambil pada 12 JUN 2014. Harga RM 10.99 adalah sah sepanjang 2 minggu. Sakit hati tak hihi.
Share:

Tuesday, June 10

POKOK ITU BESAR


Pagi yang cerah, dapatlah berjogging 2.5KM di sekitar Presint Diplomatik, Jam 9.15AM, naiki motor ke Dengkil untuk survey alat ganti kereta. Sebelum sampai KFC Dengkil, singgah di warung bawah pokok di simpang lampu isyarat sebab ternampak 2 lelaki berkopiah berniaga. Padahal jika ke Dengkil, restoren mamak lah tujuan aku.

Kemas berkopiah, seorang pembuat air dan seorang penebar roti, tidak menyapa aku. Aku bangun ke ruangan buat air, “1 teh tarik bang”…. diulang kali kedua baru ada sahutan. Tunggu lagi…..tiada juga yang ambil tempahan roti ke nasi lemak. Mungkin sibuk rasanya kedai bawah pokok ni atau terlupa di mana meja pelanggan.

Terpaksa la aku ke ruangan pembuat roti menempah lagi…”Abg, roti telur bawang satu”… Ok jawabnya ringkas…

5 minit – 2 keluarga Melayu datang – hampir siap mereka bersarapan, sampailah roti kosong kepada mereka, aku pun tak pasti mereka tempah online @ sms dulu sebab aku masih lagi menunggu…”Bang, roti telur bawang saya dah siap ke”, – “sekejap lagi sebab roti kosong senang masak dari roti telur”.

Datang sepasang lelaki wanita cina pertengahan abad duduk semeja aku. Pantas pula pakcik berkopiah ni bertanya tempahan minuman apa… Pelik tapi benar, duit mereka lebih laku dari aku rasanya.

“Encik, roti telur encik saya terlupa letak bawang…boleh ke?”….hmmm bolehlah sebab aku tak mahu menunggu lagi, kesian pula jika membazir kan…Sudah lah berkoyak-koyak garing, hangus pula tu..Tidak sampai 30 saat, pasangan cina semeja dengan aku pula dapat ‘roti telur bawang’ dan roti kosong…

Menyedari apa yang aku makan dan apa yang semeja aku makan adalah sama, malah lebih buruk dari tempahan orang terkemudian aku, demi tak nak malukan bangsa aku, aku makan lah dengan perlahan dan professional-macam tiada apa-apa yang ketara berbeza kot.

Kes macam ni biasa terjadi, malah di Puchong, Johor Bahru, malah di Presint 9 pun sama, peniaga roti canai sibuk melampau…Bila da maju sikit, mula lah pakai spek hitam buat roti, pakai white board catat tempahan. Kita pula kena warning

Berdoalah semoga bila kita dimandikan, dikapankan dilakukan oleh bangsa seagama KITA dengan penuh ikhlas. Semoga pokok ini kekal bertahan untuk generasi seterusnya…dan mamak – kamu pandai memanipulasi kelemahan menjadikan dunia roti canai semakin menarik.

Pautan Berkaitan :
1. ROTI CANAI TUMPULKAN MEMORI
2. POKOK ITU BESAR 
3. ROTI CANAI MISTERI 


Share:

Recent Posts

BTemplates.com

Powered by Blogger.

Featured Post

BAGAIMANA BERURUSAN CIRI-CIRI KESELAMATAN GITULAH

PELAWAT

Search This Blog

ARCHIVE

My Blog List

KOMEN KOMEN KOMEN BILA-BILA MASA SAHAJA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages

Popular Posts

Popular Posts

Blog Archive