Kedai Buku Online

Wednesday, July 18

BEDAK TALKUM MENYEBABKAN KANSER OVARI : FAKTA ATAU AUTA


BEDAK TALKUM MENYEBABKAN KANSER OVARI : FAKTA ATAU AUTA

Kanser ovari adalah sejenis kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal. Ianya juga tidak mempunyai kaedah pencegahan yang berkesan seperti kanser pangkal rahim. Di samping sukar untuk dikesan, sehingga ke hari ini ahli sains belum lagi menemui punca sebenar yang bertanggungjawab menyebabkan kanser ovari, walaupun mereka mengetahui faktor risikonya. Maka kepada pakar kanser, kanser ovari adalah sejenis kanser yang misteri walaupun pengetahuan tentang jenis dan kaedah merawatnya sudah semakin baik.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat banyak berita mengenai kes saman terhadap syarikat yang mengeluarkan bedak talkum Johnson & Johnson. Saman ini dikaitkan dengan dakwaan bahawa bedak talkum yang dikeluarkan oleh syarikat ini boleh menyebabkan kanser ovari. Benarkah ada kaitan di antara bedak talkum dengan kanser ovari. Berikut adalah ulasan saya.

1. Bedak talkum diperbuat dari talc yang mengandungi bahan galian seperti magnesium, silikon dan oksigen. Talc mempunyai sifat menyerap air yang sangat berkesan dan dapat mengurangkan geseran.

2. Talc di dalam bentuk asalnya mengandungi asbestos. Ada juga yang berpendapat asbestos adalah bahan sampingan yang diperolehi semasa talc diambil daripada lombongnya.

3. Asbestos dikaitkan dengan beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru dan kanser pundi kencing

4. International Agency in Research of Cancer (IARC) telah mengkategorikan talc yang mengandungi asbestos sebagai mungkin karsinogenik kepada manusia (”possibly carcinogenic to humans”) jika digunakan pada kemaluan wanita. Karsinogenik adalah bahan yang boleh menyebabkan kanser.

5. Manakala pada hari ini talc yang terdapat di dalam bedak talkum Johnson & Johnson sudah TIDAK mengandungi asbestos. Asbestos hanya dikesan di dalam talc sebelum tahun 1973. IARC telah mengklasifikasikan talc tanpa asbestos sebagai BUKAN karsinogenik.

6. Sebelum tahun 1973, talc di dalam bedah talkum memang mengandungi asbestos dan pada masa tersebut bedak digunakan di bahagian kemaluan untuk tujuan mengurangkan kesan geseran dan juga bau. Ianya digunakan ke atas bayi dan juga oleh orang dewasa.

7. Penyelidik telah mendapati ada kemungkinan ujudnya kaitan di antara penggunaan bedak talkum sebelum tahun 1970 an dengan kanser ovari. Ini dikaitkan dengan kandungan asbestos di dalam bedak tersebut dan apabila ianya digunakan ke atas kemaluan dalam jangkamasa yang panjang. Adapun penggunaan bedak talkum pada bahagian lain badan adalah selamat.

8. Persoalannya, sejauh manakah kaitan bedak talkum berasbestos (bedak talkum sebelum tahun 1973) dengan kanser ovari. Terdapat beberapa bukti bahawa kaitan di antara penggunaan bedak talkum dengan kanser ovari adalah sangat lemah. Di antara bukti-bukti tersebut adalah seperti berikut:
  • a. Semua dakwaan mengaitkan bedak talkum dengan kanser ovari adalah berdasarkan kepada kajian-kajian epidemiologi dan kebanyakannya adalah ”case-control study” yang dilakukan secara retrospektif iaitu data-data diambil daripada pesakit-pesakit terdahulu. Maklumat diperolehi hanya berdasarkan kepada ingatan pesakit.
  • b. Pada pandangan pakar kanser, ”case-control study” dan kajian retrospektif bukanlah kaedah kajian yang tepat untuk mengaitkan di antara penggunaan bedak talkum dan kanser ovari kerana kajian seumpama ini mempunyai kelemahan daripada pelbagai sudut.
  • c. Kajian yang lebih berwibawa iaitu kajian prospektif yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik ke atas 121,700 orang wanita di Amerika yang bermula pada tahun 1976 (responden berusia 30-55 tahun), telah mendapati bahawa terdapat seramai 30,000 orang wanita menggunakan bedak talkum yang mengandungi asbestos. Daripada jumlah tersebut, penyelidik mendapati bahawa kadar kejadian kanser ovari dalam kalangan wanita yang menggunakan bedak talkum adalah SAMA dengan wanita-wanita yang tidak menggunakan bedak talkum.
  • d. Teori yang mengatakan bedak talkum yang digunakan ke atas kemaluan akan menyebabkan asbestos naik ke organ peranakan atas sehingga ke ovari juga meragukan. Malahan kajian daripada Gertig GM mendapati tidak terdapat perbezaan kadar kanser ovari di antara wanita (yang menggunakan bedak talkum) yang telah menjalani "tubal ligation"(ikat tiub falopian) dengan wanita yang tidak menjalani pembedahan ini. Apabila tiub falopian diikat maka asbestos tidak boleh sampai kepada ovari kerana ia perlu melalui tiub falopian terlebih dahulu. Jadi sepatutnya wanita yang menjalani pembedahan ini tentu mempunyai risiko yang lebih rendah. Tetapi ini tidak berlaku, jadi teori yang digunakan untuk mengaitkan bedak talkum dan kanser ovari telah dinafikan.
Berdasarkan kepada 4 alasan yang saya sebutkan di atas, jelas menunjukkan bahawa kaitan di antara penggunaan bedak talkum berasbestos dengan kanser ovari adalah sangat lemah. Secara peribadi saya berpendapat IARC sepatutnya mengkaji semula pengklasan ini.

9. Pihak IARC tetap mengekalkan status bedak talkum berasbestos sebagai berpotensi menyebabkan kanser ovari, walaupun menyedari kaitannya sangat lemah. Sebenarnya banyak pihak yang mempertikaikan kaedah IARC mengkategorikan bahan penyebab kanser berdasarkan proses pengklasan yang mereka gunakan, terutama bahan seperti bedak yang sangat sukar untuk mengukur kuantiti dan pendedahan sebenar (”dose-exposure” ).

10. Dengan pendirian IARC ini, maka sesiapa yang menghidap kanser ovari dan pernah menggunakan bedak talkum sebelum tahun 1973 boleh mengambil peluang ini untuk mendakwa bahawa kanser ovari yang mereka hidapi adalah disebabkan oleh asbestos yang terkandung di dalam bedak talkum tersebut. Inilah yang berlaku ke atas syarikat Johnson & Johnson yang menjadi sasaran ramai penghidap kanser ovari sehingga syarikat ini perlu membayar pampasan berjuta-juta dolar Amerika kepada plaintif. Saman pertama dilakukan oleh serorang wanita bernama Diane Berg pada tahun 2009, diikuti dengan banyak lagi saman berikutnya.

Pada hari ini jumlah saman sudah mencecah berbilion dolar Amerika. Hakim dan pihak juri mengambil keputusan untuk menyebelahi plaintif hanya berasaskan kepada kegagalan syarikat untuk memberi amaran walaupun pada pandangan pakar kanser, kaitan di antara bedak talkum dengan kanser ovari adalah sangat lemah. Nampaknya pihak plaintif berjaya menggunakan kebijaksanaan peguam untuk mempengaruhi keputusan Hakim walaupun beban pembuktian sebenarnya lebih berat kepada pihak mereka.

11. Pada pendangan Pakar kanser, keputusan Hakim ini adalah sangat memeranjatkan kerana walaupun mungkin syarikat gagal memberi amaran, sebenarnya kaitan di antara bedak talkum yang mengandungi asbestos dengan kanser ovari adalah sangat lemah dan meragukan. Adalah hampir mustahil untuk membuktikan bahawa bedak talkum tersebut adalah penyebab kanser ovari. Malahan terdapat ahli sains yang berpendirian bahawa mengaitkan bedak talkum dengan kanser ovari adalah satu mitos semata-mata. Mereka ini menganggap bahawa kanser ovari yang dihidapi oleh wanita-wanita ini adalah secara kebetulan.

Kesimpulannya kaitan di antara bedak talkum berasbestos dengan kanser ovari adalah sangat lemah dan ianya hanya berasaskan kepada kajian epidemiologi dan kajian case-control. Lebih banyak bukti yang menolak kaitan ini. Walau bagaimanapun kegagalan pihak syarikat memberi amaran tentang penggunaan bedak talkum pada bahagian kemaluan dengan kanser ovari menyebabkan mereka terpaksa membayar dengan kos yang terlalu tinggi. Orang ramai tidak perlu bimbang kerana bedak talkum yang ada pada hari ini sudah tidak mengandungi asbestos. Syarikat pengeluar bedak juga telah mengeluarkan produk yang bukan berasaskan kepada talc tetapi serbuk yang dihasilkan daripada tepung jagung (”cornstarch”), sebagai pilihan kepada pengguna.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
16 hb Julai 2018

https://www.facebook.com/rushdan.noor
www.faktasains.com
RUJUKAN:
https://www.cancer.org/
…/canc…/talcum-powder-and-cancer.html
https://www.cancerwa.asn.au/
…/cancermyt…/talcum-powder-myth/
http://jnci.oxfordjournals.org/content/92/3/249.full#ref-1
(Prospective study of talc use and ovarian cancer, Gertig DM, Hunter DJ, Cramer DW,et al. Journal of the National Cancer Institute, JNCI J Natl Cancer Inst (2000) 92 (3): 249-252. doi: 10.1093/jnci/92.3.249
Share:

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

BTemplates.com

Powered by Blogger.

Featured Post

BAGAIMANA BERURUSAN CIRI-CIRI KESELAMATAN GITULAH

PELAWAT

Search This Blog

My Blog List

KOMEN KOMEN KOMEN BILA-BILA MASA SAHAJA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages

Popular Posts

Popular Posts