Kedai Buku Online

Tuesday, February 23

VIRUS HEPATITIS C

 HCV penyakit tanpa disedari

Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

Sihat, cergas dan tiada tanda atau simptom penyakit. Juga tiada tanda kelesuan atau perubahan berat badan yang mendadak.

Namun selepas terbabit dalam kemalangan, barulah diri sedar mengalami penyakit radang hati berpunca daripada virus Hepatitis C (HCV).

Bukan satu atau dua, tetapi realitinya semakin ramai rakyat Malaysia disahkan mengalami HCV hanya selepas terlantar di hospital disebabkan kemalangan,
pembedahan dan sebagainya.

Dianggarkan 160 juta orang dijangkiti Hepatitis C (HCV) di seluruh dunia pada tahun lalu dengan 350,000 daripadanya meninggal dunia setiap tahun.

Dianggarkan 451,000 rakyat Malaysia pula berisiko menghidapnya dan 80 peratus tidak tahu mereka mempunyai penyakit itu.

HCV sering dikategorikan sebagai virus ‘bijak’ kerana ia akan melakukan apa saja yang terdaya untuk mengelak dikesan oleh sistem pertahanan badan manusia.

Ini menjadikannya sebagai pembunuh senyap berikutan berupaya bertahan selama puluhan tahun dalam tubuh pesakit tanpa menunjukkan simptom sementara si penghidap pula menyangkakan dirinya sihat.

Perunding Kanan Hepatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya Profesor Dr Rosmawati Mohamed berkata, ketiadaan simptom atau tanda ini membuatkan ramai yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan secara kerap dan menyeluruh.

“Akibat tidak sedar, ramai yang lewat mendapatkan rawatan. Kelewatan itu menyebabkan berlaku kerosakan hati kronik, seterusnya meninggalkan parut pada hati atau sirosis yang menyebabkan organ itu menjadi keras,” katanya.



Apa sebenarnya HCV? Hepatitis ialah sejenis penyakit keradangan hati disebabkan jangkitan virus.

Wujud 5 jenis hepatitis dan paling lazim dihidapi ialah Hepatitis A, Hepatitis B (HBV) dan Hepatitis C (HCV).

HCV ialah sejenis penyakit yang menjejaskan hati. Virus HCV merebak apabila darah individu yang dijangkiti virus ini memasuki tubuh individu lain yang sihat.

Di dalam hati, HCV akan menimbulkan radang yang menyebabkan tisu hati menjadi bengkak. Tisu yang bengkak itu kemudian bertukar menjadi parut tisu (fibrosis).

Apabila hati berparut, keberkesanan fungsinya juga terjejas. Komplikasi hati yang serius boleh mengambil masa sehingga 30 tahun untuk terbentuk.

Virus terbabit mampu melakukan kerosakan kepada hati sedikit demi sedikit dalam jangka panjang sehingga berlaku kegagalan fungsi hati dan kanser hati, seterusnya menyumbang kepada kematian.


Dua punca utama HCV disebabkan pengambilan alkohol secara berlebihan dan dijangkiti hasil proses pemindahan darah atau organ khususnya sebelum 1992.

Keadaan itu berlaku apabila darah penderma tidak disaring daripada jangkitan seperti HCV. Selain itu, jangkitan boleh berpunca daripada perkongsian jarum penyalahgunaan dadah.

Suntikan menggunakan jarum tercemar boleh mendedahkan individu kepada virus ini. Berkongsi barang kegunaan peribadi seperti pencukur dan berus gigi juga dilihat menjadi punca, namun laporan kesnya agak terpencil.

Bayi dilahirkan daripada ibu yang dijangkiti HCV tidak ketinggalan berisiko, selain mengadakan hubungan seks dengan mereka yang dijangkiti HCV.

Kurangkan kesan virus

HCV, yang juga dikategorikan sebagai penyakit bawaan darah, sebelum ini disifatkan tidak mempunyai vaksin yang mampu mengubatinya. Pegylated Interferon ialah sejenis protein yang digunakan untuk membantu sistem imun. Ia disuntik ke dalam badan hanya sekali seminggu selama 12 bulan.

Pesakit biasanya diajar untuk menyuntik diri sendiri di rumah. Ubat ini diberi bersama ribavirin yang bertindak menyukarkan HCV daripada terus membiak di dalam badan.

Namun ada pesakit tidak boleh mengambilnya lalu ia akan diberikan secara bersendirian.

Dr Rosmawati menjelaskan, perkembangan teknologi banyak membantu pesakit mendapatkan rawatan dan ubatan baru bagi mengurangkan gejalanya.

“Kini Hepatitis C ke arah penyembuhan 100 peratus dengan bantuan ubatan tertentu. Apabila pesakit bebas daripada HCV ini terutama jika dikesan awal, boleh mengelakkan berlakunya fibrosis, cirrhosis hati atau kanser hati.

“Mengubati HCV agak mencabar kerana virus itu bermutasi dan membiak dengan pantas. Rawatan dan ubatan secara oral yang mengandungi antiviral dapat membantu mengatasi penyakit ini,” ujarnya.

Rawatan secara oral yang pertama di negara ini mengandungi ombitasvir/paritaprevir/ritonavir (Viekirax) dan dasabuvir (Exviera). Tempoh pengambilan ubat baru ini juga lebih pendek iaitu sekitar 12 atau 24 minggu saja. Penemuan ini membantu merawat HCV dan pada masa sama mengurangkan kesan buruk sirosis serta mengurangkan risiko barah hati.

“Pengambilan Viekirax dan Exviera ini sesuai untuk HCV jenis genotip tahap satu (GT1), yang kebanyakannya terdapat di negara kita. Risiko kegagalan rawatan pula sangat kecil,” kata Pengurus Perubatan AbbVie Malaysia Dr Rubentiran Ramar. Sebaiknya, pemeriksaan dan ujian darah secara berkala perlu dilakukan terutama bagi golongan berisiko untuk mengesan bahan di dalam darah yang dikaitkan dengan HVC ini.

Ini termasuk antiHCV (sejenis antibodi), ALT (sejenis enzim hati), HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan) dan genotip (satu strain daripada virus ini).


Gambar Ikhsan Google





Share:

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

BTemplates.com

Powered by Blogger.

Featured Post

BAGAIMANA BERURUSAN CIRI-CIRI KESELAMATAN GITULAH

PELAWAT

Search This Blog

ARCHIVE

My Blog List

KOMEN KOMEN KOMEN BILA-BILA MASA SAHAJA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages

Popular Posts

Popular Posts

Blog Archive