Kedai Buku Online

Thursday, February 4

KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN MALAYSIA SITUASI TERKINI VIRUS ZIKA DI MALAYSIA


KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI VIRUS ZIKA DI MALAYSIA
3 FEBRUARI  2016

Screen Shot 2016-02-03 at 15.15.56.png
Sumber foto: Associated Press

Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM)  ingin  memaklumkan status terkini berkaitan jangkitan virus Zika yang telah merebak dengan pantas ke beberapa buah negara terutama di rantau Amerika. Pada masa ini terdapat sebanyak 26 buah negara telah melaporkan kes Zika iaitu Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Costa Rica, Curacao, Dominican Republic, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Jamaica, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S. Virgin Islands, dan Venezuela.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah kesiapsiagaan bagi membendung penularan virus Zika ke negara ini. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan ialah menyediakan dan pewujudan sistem pemantauan serta pengurusan jangkitan virus Zika yang melibatkan perkara-perkara berikut:
  1. Survelen klinikal untuk kes Zika di klinik kesihatan dan hospital.
  2. Survelan makmal untuk virus Zika
  3. Survelan “Microcephaly” bagi memantau kejadian kes ini
  4. Tindakan pencegahan dan kawalan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri
  5. Kesiapsiagaan dan Respons Pintu Masuk Antarabangsa Negara
Melalui survelan berterusan yang dilakukan oleh KKM bagi mengesan jangkitan virus Zika di negara ini, sehingga 2 Februari 2016  sebanyak  293 sampel darah  daripada pesakit yang menunjukkan gejala denggi tetapi ujian denggi negatif, telah diuji untuk mengesan virus Zika dan setakat ini semua keputusan adalah negatif. Pemantauan dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).



Selain tindakan yang telah dilakukan oleh KKM, peranan pihak masyarakat untuk mencegah penularan jangkitan adalah amat penting iaitu seperti berikut:
  1. Mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan berhampiran sekiranya menghidap gejala dan tanda-tanda seperti demam, sakit badan, ruam dan konjuktivitis setelah kembali dari 26 buah negara yang dijangkiti virus Zika.
  2. Menangguhkan perjalanan ke negara-negara terlibat khususnya bagi wanita yang mengandung. Jika terpaksa juga melakukan perjalanan tersebut, mereka perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk Aedes seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repellent) secara tetap.
  3. Bagi mereka yang telah kembali dari negara terlibat tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, bolehlah mendapatkan khidmat nasihat daripada mana-mana pengamal perubatan berdaftar sama ada kerajaan atau swasta dalam apa juga perkara berkaitan jangkitan ini.
  4. Semua pihak sama ada individu, masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu melakukan aktiviti pencegahan sepertimana penyakit demam denggi kerana virus Zika juga disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. Tindakan pencegahan yang perlu dilakukan adalah seperti berikut :-
    • Memastikan kawasan persekitaran terutama tempat-tempat awam dan swasta bersih daripada tempat pembiakan nyamuk.
    • Melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mencegah berlakunya jangkitan kepada orang lain seperti menggunakan repellent, memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan kelambu dan melakukan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa.
    • Melakukan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di premis masing-masing.
    • Disaran untuk memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah.
  5. Bagi kawalan di Pintu Masuk Antarabangsa, perlu dijelaskan saringan suhu badan bukanlah satu kaedah yang berkesan memandangkan sekitar 80% mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun begitu, pelawat asing yang datang atau rakyat Malaysia yang pulang dari negara terlibat dan menunjukkan gejala-gajala denggi atau Zika, disaran memaklumkan kepada anggota kesihatan yang bertugas di pintu masuk berkenaan. Mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala akan diedarkan Kad Peringatan Kesihatan bagi memaklumkan langkah-langkah yang perlu diambil jika menunjukkan gejala dalam tempoh tujuh (7) hari selepas kembali ke Malaysia.
Sekiranya semua pihak  bekerjasama dalam melakukan tindakan pencegahan, khususnya dalam memusnahkan tempat pembiakan Aedes serta perlindungan daripada gigitan nyamuk dan mengambil serius jangkitan Zika ini sebagai “public health emergency” seperti yang disarankan oleh WHO, maka perebakan jangkitan ke negara ini akan dapat diatasi.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
3 Februari 2016

Sumber






MIAMI – Kes pertama virus Zika yang disebarkan melalui hubungan seks dilaporkan berlaku di sebuah daerah di Texas, Amerika Syarikat (AS); sesuatu cukup pelik dan amat janggal dalam dunia perubatan moden sendiri.

Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai cara alternatif penularan virus bawaan nyamuk Aedes itu, yang lazimnya dikaitkan dengan denggi tetapi kini mengakibatkan mangsa bayi mengalami kecacatan kepala.

Menurut satu kenyataan pihak Dallas County, ia telah menerima pengesahan dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) mengenai kes pertama jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks pada 2016.

Ia menambah bahawa pesakit itu dijangkiti virus Zika selepas mengadakan hubungan seks dengan seorang pesakit, yang baharu sahaja pulang dari sebuah negara di benua Amerika Selatan yang terjejas teruk dengan virus Zika.

Pada bulan lalu, CDC menyatakan bahawa pihaknya telah dimaklumkan mengenai satu kes virus Zika yang disebarkan melalui hubungan kelamin sedemikian sebelum melakukan proses siasatan lebih lanjut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat antarabangsa berikutan penularan virus Zika dan menganggarkan mungkin terdapat empat juta kes berikutan tiada lagi penawar berkesan bagi menanganinya.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu itu dalam kenyataan pada Selasa membuat pengisytiharan tersebut selepas mesyuarat tergempar pakar bebas di Geneva ekoran peningkatan kes Zika sejak awal tahun ini di Brazil.

Ia kini dilaporkan mula merebak di AS dan beberapa buah negara di Amerika Latin. Virus Zika yang dibawa nyamuk Aedes dikaitkan dengan beribu-ribu kes saiz otak lebih kecil daripada biasa pada bayi baru lahir.

Dalam pada itu, dua penduduk awam di Sydney yang baharu pulang dari percutian mereka di rantau Caribbean, disahkan telah dijangkiti virus Zika, demikian menurut kenyataan para pegawai kesihatan Australia.

Pejabat Kesihatan New South Wales memberitahu agensi berita BBC bahawa lelaki dan wanita yang dijangkiti virus tersebut kenal satu sama lain, sebelum mereka diuji sebagai positif Zika pada Jumaat lalu.

Menurut pihak berkuasa New South Wales, seorang pelancong diuji positif selepas ke Soloman Islands pada tahun lalu, manakala lagi empat orang diuji positif selepas mereka pulang dari Cook Islands pada tahun 2014.

Sementara itu, seorang rakyat Australia, Daniel Gaunt, 27; pernah dijangkiti virus Zika selepas digigit monyet dan nyamuk di pulau Bali, Indonesia pada 2013 menggesa pelancong supaya mengambil langkah berjaga-jaga.



Sumber


Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan, seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, bahawa jangkitan virus Zika telah merebak dengan begitu pantas sekali di benua Amerika. Ini adalah kerana Kementerian berpandangan risiko bagi penularan jangkitan ini ke Malaysia adalah tinggi di atas sebab-sebab berikut:-
  1. Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes.
  2. Densiti nyamuk Aedes di negara ini adalah sangat tinggi. Ini berdasarkan kepada hasil pemeriksaan premis-premis di seluruh negara serta hakikat bahawa kita juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama.
  3. Penyakit ini belum terdapat di Malaysia dan oleh itu rakyat Malaysia amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas.
  4. Seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus untuk membunuh virus ini. Oleh itu, orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk Aedes.
  5. Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80%) tidak menunjukkan gejala dijangkiti, yakni mereka boleh menjadi “pembawa yang sihat” dan menyebarkan virus ini tanpa disedari.
Walaupun penyakit ini hanya menyebabkan demam yang ringan serta bintik-bintik (rashes) di badan, sakit sendi dan tidak menyebabkan kematian, namun Kementerian memandangnya dengan serius sebab ia telah dikaitkan dengan kejadian “microcephaly” iaitu kelahiran bayi dengan kepala/otak mengecil dan juga dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom “Guillain-Barre”. “Microcephaly” merupakan kecacatan otak/kepala yang kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.

Share:

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

BTemplates.com

Powered by Blogger.

Featured Post

BAGAIMANA BERURUSAN CIRI-CIRI KESELAMATAN GITULAH

PELAWAT

Search This Blog

ARCHIVE

My Blog List

KOMEN KOMEN KOMEN BILA-BILA MASA SAHAJA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages

Popular Posts

Popular Posts

Blog Archive