KENYATAAN RASMI TAN SRI DR HAJI HARUSSANI BIN HAJI ZAKARIA BERKAITAN ISU “BUGHAH” & “HALAL DARAH ”
Merujuk kepada
laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari
2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di
Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “Bughah” iaitu
penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar
Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan
ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak
dihalalkan golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari
2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya
berkenaan isu “Bughah” dan demonstrasi.
Kenyataan-kenyataan
tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan
menjadi polemic dan kecelaruan kepada masyarakat. Pada dasarnya, ianya
adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar
Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada
Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan
hanya kepada isu demonstrasi “ TURUN” sahaja. Sedangkan terdapat isu
lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan”
sebagai bahan berita.
Diizinkan Allah
saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya
dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia. Setiap kali penganjuran
demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan
terhadapnya. Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya
demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para
pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara
jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana
kedua-duanya merupakan warga Muslim. Jika berlaku pertembungan tersebut
sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak,
disamping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang
menangguk di air yang keruh.
Nasihat dan Peringatan
Oleh yang demikian,
selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan
mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara- saudara saya.
Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang
bermaksud :
“…Dan jika
dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di
antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka
lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi
perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya
dengan adil (menurut hokum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam
segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil…” .
Sebab penurunan
ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang
ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan
mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi
Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.
Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar. (tafsir Ibn Juza)
Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah”
yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti
yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.
Dalam kes Abu Bakar
al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga
memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga
diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong
oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah
mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.
Pembentukan negara
kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Rakyat diberi hak untuk
menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem
pilihanraya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut
untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati
kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat
rakyat seperti parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun
mahkamah. Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman
sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah
berlaku mencatatkan sebaliknya. Telah timbul kebimbangan kepada rakyat
di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.
Larangan Memberontak
Saya menekuni hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud
r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya
akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri (daripada
pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar ”. Sahabat
bertanya , “ Wahai Rasulullah ! Apakah yang engkau perintahkan kepada
kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan
ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada Allah ”.
Imam Al Nawawi
menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan
taat sekalipun pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu
perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak,
bahkan dia perlu merendahkan diri kepada Allah dalam usaha menghapuskan
kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk
membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara
teguran terbaik adalah secara bersemuka.
“Se afdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim” (HR Abu Daud)
Antara adab penting
yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah memberi nasihat
secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith:
“Sesiapa yang ingin
menasihati pemerintah berkenaanh sesuatu urusan maka janganlah
dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah memimpin tangannya ke
tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah
tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya
orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya .(HR Imam
Ahmad)
Imam Ibnu Hajar Al
Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “ para Fuqaha telah
sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk
berjihad bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak
kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi
ketenangan kepada orang ramai ”.
Belum pun ditinjau
dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun
membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis
lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab). Laporan Berita Harian
hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan
bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama
kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal
tahun.
Jika dikatakan
demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai,
maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak
rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah
digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang
menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Apa yang merisaukan saya adalah
sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas
terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan
dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.
Seperti dimaklumi,
mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara
terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman
damai. Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di
bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Kerisauan saya ini
saya zahirkan dengan mungulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan
betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat
bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi
setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam berbagai kitab termasuk
al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.
Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua.
Saya menyeru semua
umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada
pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan
sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan
bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :
Jika datang
kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan
untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka
bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith ini sebagai
peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala
usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.
Kesimpulannya,
sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya
merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya
dengan realiti semasa di Negara ini. Saya tiada niat lain kecuali
mencari redha Allah dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara
khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.
No comments:
Post a Comment